Thursday, February 2, 2012

SISTEM FEUDAL

Jelaskan sistem feudal yang diamalkan oleh masyarakat China dan Jepun sebelum campur tangan Barat.
A. PENGENALAN ( 3 Markah )
i. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat ke Asia pada abad ke-19 kebanyakan negara Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Selatan merupakan kerajaan berbentuk sistem feudal. Feudalisme bermaksud satu masyarakat yang bersusun lapis mengikut heiraki dan ianya merupakan cara hidup yang meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial. Feudalisme juga merupakan satu bentuk kerajaan tempatan yang diperintah oleh individu-individu tertentu yang tidak terikat dengan kerajaan pusat.
ii. Di Asia Timur China dan Jepun, sistem feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan memerintah terdiri daripada raja dan pembesar sementara golongan yang diperintah pula ialah rakyat.
iii. Tujuan sistem feudal ini diamalkan adalah untuk menentukan kedudukan dan status golongan tertentu dalam masyarakat bagi menjamin keharmonian masyarakat.
B) ISI
1) Sistem Feudal Di China ( 10 Markah )
Golongan Pemerintah
a) Maharaja
i. Maharaja menduduki heiraki tertinggi, berkuasa mutlak dan mengawal seluruh masyarakat China. Maharaja sangat berkuasa dalam bidang pentadbiran iaitu eksekutif, lagislatif dan kehakiman.
ii. Baginda mempamerkan dirinya sebagai pemimpin intelektual dan pemimpin agama tertinggi dan menganggap dirinya sebagai ‘Anak Tuhan Dari Syurga’.
iii. Maharaja wajib mematuhi etika moral ajaran confucius dan harus menjadi contoh kepada rakyat. Maharaja yang jujur dan berkarisma akan disanjung , dihormati dan ditaati oleh rakyat. Jika berlaku sebaliknya rakyat berhak memberontak dan menggulingkan maharaja itu.
b) Golongan Bangsawan
Golongan bangsawan terdiri daripada kerabat diraja, bangsawan bergelar dan bangsawan perang.
i) Bangsawan Kerabat Diraja
Bangsawan kerabat diraja terdiri daripada kaum lelaki keturunan ‘nunhaci’ yang berjumlah kira- kira 700 orang. Sejak kurun ke-16 hingga kurun ke-19, seluruh kehidupan mereka diuruskan oleh maharaja sebagai kumpulan bangsawan yang utama. Mereka dianugerahkan oleh maharaja tanah, tempat tinggal rasmi dan elaun dalam bentuk perak dan beras. Namun demikian, mereka hidup terasing kerana tidak dibenarkan berhubung dengan pihak berkuasa wilayah dan Sekretariat/Majlis Agung.
ii) Bangsawan Bergelar
Bangsawan bergelar pula terdiri daripada 5 kelas yang tiap-tiap satunya terbahagi pula kepada beberapa kelas mengikut darjat. Bangsawan bergelar juga mempunyai keistimewaan dan menerima anugerah daripada maharaja seperti beras, perak dan tanah. Sebagai contoh, Duke kelas pertama menerima 260 taels.
iii) Bangsawan Perang
Bangsawan perang merupakan kumpulan bangsawan yang ketiga. Mereka adalah pemimpin elit tentera yang menjadi teras pertahanan Manchu sehingga kurun ke- 19. Sebahagian besar daripada mereka ditempatkan di Peking dan kawasan sekitarnya.
Sebahagian lagi di tempatkan di markas-markas tentera yang jauh. Mereka diberi layanan yang baik oleh maharaja melalui pemberian pencen tahunan, tanah untuk ternakan lembu, beras dan kain. Selalunya bangsawan perang terdiri daripada keturunan Manchu, diberi layanan lebih baik daripada keturunan China dan Monggol. Semua bangsawan perang adalah dilarang mengambil bahagian dalam perburuhan bagi menjaga maruah dan status sosial mereka. Pemimpin tertinggi tentera Manchu boleh membicarakan mereka atas kesalahan-kesalahan tertentu.
Golongan diperintah
a) Sarjana
i) Para sarjana menduduki lapisan teratas dalam stratifikasi sosial masyarakat Cina dalam golongan yang diperintah. Mereka ini terdiri daripada yang lulus peperiksaan awam kerajaan dan juga yang gagal dalam peperiksaan tersebut. Termasuk dalam kumpulan ini ialah para ‘literati’(persuratan) yang sama ada atau enggan mengambil peperiksaan kerajaan atau telah memiliki ijazah akedemik atau telah menjawat jawatan rasmi dikenali sebagai gentry (Shan-Shin). Golongan Gentri terbahagi kepada 2 iaitu mereka yang menjadi pegawai kerajaan dikenali sebagai ‘official gentri’ dan yang tidak terlibat dalam birokrasi kerajaan dipanggil ‘skolar gentri’.
ii) Golongan Gentri (Shan-Shin) mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat. Official gentry tergolong sebagai birokrat dan menganggotai kelas pemerintah. Skolar gentri pula menjadi orang perantaraan antara golongan pemerintah dengan golongan diperintah. Mereka selalunya menjadi pemimpin di tempat mereka. Peranan mereka yang dominan dalam masyarakat dan hak-hak unik yang mereka nikmati menjadikan mereka golongan istimewa. Mereka juga adalah bakal-bakal pegawai kerajaan yang akan mengetuai kelas pemerintahan bila tiba masanya. Golongan ini juga sentiasa menganggap kumpulan mereka sebagai pelindung warisan kebudayaan, prinsip-prinsip moral dan pendidikan masyarakat Cina.
b) Petani
i) Golongan petani menduduki lapisan kedua selepas golongan sarjana. Golongan ini membentuk 80% daripada keseluruhan penduduk China. Sebagai sebuah China sebuah negara argraria, maka status golongan petani ini lebih tinggi daripada golongan artisan dan saudagar. Mereka mencapai status ini kerana golongan mereka adalah yang terbesar, menghasilkan makanan dan sumber cukai kepada kerajaan serta membekalkan tenaga kerja untuk projek-projek kerajaan.
ii) Pada umumnya, kehidupan petani di kampung-kampung kecil adalah bebas tanpa gangguan selagi mereka menjelaskan pembayaran cukai, menunaikan khidmat kerah dan akur dengan tanggungjawab terhadap sistem Poa-chia dan Li-chia. Namun demikian, kehidupan mereka belum tentu selesa dan makmur kerana pendapatan hasil beras daripada tanah yang dikerjakan hanya cukup untuk menyara keluarga. Mereka juga terpaksa menjelaskan bayaran cukai yang tinggi kepada kerajaan atau tuan-tuan tanah feudal.
iii) Golongan petani bagaimanapun terbuka kepada mobiliti sosial secara menegak. Seorang anak petani yang pintar selalunya berusaha keras untuk maju dalam pelajaran dan lulus peperiksaan kerajaan serta mendapat ijazah. Kemudian dia menjadi ahli golongan sarjanadan mend apat jawatan yang boleh membawa penghormatan kepada keluarga dan mengelakkan diri daripada kemiskinan.
c) Artisan
i. Golongan artisan berada di lapisan ketiga dalam susun lapis masyarakat Cina selepas Skolar Gentri dan petani.
ii. Mereka ini terdiri daripada tukang kayu, tukang rumah, tukang besi, tukang tembaga, tukang jahit, pelukis, tukang kasut dan seumpamanya.
iii. Pekerja-pekerja dalam industri proto seperti menenun kain, melombong, pembuat barangan tembikar dan lain-lain termasuk dalam kumpulan ini.
iv. Mereka membentuk persatuan mengikut jenis pekerjaan yang mereka jalankan bagi menetapkan harga dan mutu barangan yang dikeluarkan.
v. Umumnya pendapatan mereka lebih tinggi daripada petani tetapi status sosial adalah lebih rendah.
d) Saudagar
i. Golongan saudagar menduduki lapisan sosial paling bawah.
ii. Mereka bukan sahaja terdiri daripada peniaga-peniaga kaya yang memegang monopoli tetapi juga peruncit-peruncit, dan kerani.
iii. Saudagar teh, sutera dan garam menjadi kaya raya serta menikmati hidup mewah.
iv. Beberapa firma antarabangsa juga mencapai kekayaan dan terkenal. Walaupun kaya dan mempunyai perniagaan yang besar tetapi status sosial mereka lebih rendah berbanding Skolar Gentri dan golongan petani.
v. Kegiatan mereka mengejar keuntungan dianggap bertentangan dengan ajaran Confucius.
e) Masyarakat Tanpa Kelas
i. Dalam masyarakat Cina, terdapat satu kumpulan masyarakat yang disisih atau tanpa kelas. Mereka ini terdiri daripada penyanyi, penghibur, peminta sedekah, pelacur, pelakon dan buruh kasar tertentu digelar ‘palani’.
ii. Mereka ini disekat daripada menikmati peperiksaan kerajaan. Bagaimanapun, Maharaja Yung Cheng (1723-1735) telah membebaskan mereka daripada sekatan-sekatan tersebut.
2) Sistem Feudal Di Jepun
Golongan Pemerintah
a) Maharaja
i. Maharaja tidak berkuasa langsung dalam pentadbiran dan pemerintahan kerana diambil alih oleh Shogun. Kehidupan Maharaja di Kyoto dikawal ketat oleh Shogun dengan pelbagai undang-undang dan peraturan. Di Jepun, Maharaja dibonekakan dan terbelenggu di istana.
b) Shogun
i. Shogun Tokugawa adalah panglima tertinggi tentera di Jepun dan merupakan pemerintah diktator yang menampilkan dirinya sebagai pemimpin di lapisan teratas, memiliki autoriti pentadbiran tertinggi meliputi seluruh rakyat dan istana termasuk maharaja.
ii. Shogun sangat dihormati, ditakuti dan digeruni.
iii. Shogun menguasai hampir seluruh tanah di Jepun dan membentuk hampir 30% daripada keluaran hasil pertanian negara.
c) Daimyo/Tuan Tanah/Land Lord
i. Daimyo terletak dilapisan selepas Shogun. Mereka diklasifikasikan mengikut hubungan dan pertalian darah dengan Shogun iaitu Daimyo Sanke yang mempunyai pertalian yang rapat dengan Tokugawa dan dibahagi kepada Kii, Owari dan Mito.
ii. Sunkyo bermaksud tiga pembesar yang mempunyai pertalian dengan Tokugawa. Mereka memakai nama keluarga mereka iaitu Toyasu, Hitotsubashu dan Shimizan.
iii. Koman bermaksud rumpun keluarga berkait. Bilangan mereka lebih ramai dan memakai nama keluarga mereka iaitu Matsudaimo.
iv. Fudai merupakan penyokong kuat Tokugawa yang berjumlah 120 orang. Mempunyai hak istimewa seperti boleh menjadi anggota dua Majlis Negeri.
v. Tozama terdiri daripada tuan-tuan tanah feudal dan terpaksa tunduk kepada Tokugawa. Mereka dilarang memegang jawatan di peringkat pusat kerana dicurigai sebagai golongan penentang.
Golongan Diperintah
a) Samurai
i. Menduduki hierarki tertinggi dalam golongan diperintah. Hanya segelintir samurai dibenarkan memiliki tanah sendiri. Samurai biasanya tidak mempunyai tanah dan upah mereka dibayar dalam bentuk beras. Pada zaman keamanan, peranan samurai mula berubahdan menjadi pentadbir ladang, wilayah, mengurus kewangan, mengawal dusun dan utusan.
ii. Samurai terbahagi kepada tiga kelas iaitu kelas teratas namun bilangan mereka tidak ramai, kelas sederhana adalah taraf samurai sebenarnya dan kelas bawahan merupakan tentera berjalan kaki.
b) Petani
i. Golongan ini sangat dihormati dan dianggap sebagai asas pembinaan negara kerana petani terikat dengan tanah.
ii. Mereka menghasilkan beras dan membayar cukai feudal. Pada zaman Tokugawa, golongan ini terikat dengan tanah dan tidak boleh menukar pekerjaan. Setelah berlaku perubahan ekonomi, golongan petani mula terlibat dalam kegiatan lain yang berkaitan dengan pertanian seperti menghasilkan sutera, kertas, lilin, menekap kain dan lain-lain.
iii. Ada juga yang terlibat dalam pertanian konglomerat, menjadi pekedai runcit, peminjam wang disamping kekal sebagai tuan tanah. Walaupun golongan ini mengecap kekayaan tetapi taraf sosial mereka masih tidak berubah.
c) Artisan
i. Golongan ini memainkan peranan yang penting tetapi status sosial mereka lebih rendah daripada petani. Mereka terdiri daripada tukang kayu, tukang rumah, tukang besi, tukang tembaga, tukang jahit dan lain-lain.
ii. Walaupun berpendapatan lebih tinggi daripada petani tetapi status sosial mereka lebih rendah.
d) Saudagar/ Pedagang
i. Menduduki lapisan paling bawah dalam struktur sosial masyarakat Jepun. Saudagar menguasai perdagangan tempatan yang kompleks merangkumi pelbagai jenis pekerjaan seperti jualan barangan, gudang, pengangkutan, broker beras, pertukaran wang dan pinjaman wang. Mereka juga merupakan golongan yang memanipulasi pelbagai perniagaan.
ii. Golongan saudagar juga menubuhkan persatuan dan melindungi diri mereka melalui tindakan berkumpulan. Mereka adalah golongan yang kaya tetapi status mereka kekal di lapisan paling bawah.
 
C. KESIMPULAN ( 2 Markah )
i. Susun lapis masyarakat atau sistem feudal yang diamalkan di negara China dan Jepun mula berubah setelah campur tangan kuasa-kuasa Barat. Di negara China, sistem feudal ini mengalami perubahan setelah berlaku kemasukan kuasa-kuasa asing dan perubahan politik China terutama melalui dasar pembaharuan serta perubahan daripada Dinasti Manchu kepada kerajaan Republik mulai tahun 1911.
ii. Di Jepun, perubahan turut berlaku apabila Shogun Tokugawa telah dijatuhkan dan digantikan dengan Maharaja Meiji. Baginda telah mengadakan pembaharuan- pembaharuan di Jepun meliputi aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial. Sistem ekonomi wang telah menyebabkan golongan saudagar menjadi golongan penting semasa zaman Maharaja Meiji.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment