Wednesday, February 1, 2012

HUKUM ADAT


1.        Bincangkan hukum adat yang diamalkan di India dan Thailand sebelum perluasan kuasa Barat.                                                                                       


Pengenalan (3/2 m)

                        Adat bermaksud peraturan yang diamalkan secara turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga dianggap hukum yang harus dipatuhi. Hukum adat diwujudkan untuk mengekalkan keharmonian dan menjamin keamanan semua ahli dalam sesebuah wilayah atau negara. Hukum adat meliputi segala aspek seperti perlakuan, upacara, tatacara kehidupan dan larangan-larangan tertentu. Terdapat pelbagai adat yang diamalkan oleh masyarakat di India dan di Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat.

Isi (20 m)

A.        Adat yang diamalkan oleh masyarakat India ( 10markah )

Ø   Pelaksanaan Hukum Adat di India adalah berkaitan dengan pengaruh agama Hindu yang begitu kuat dan menjadi pegangan utama masyarakatnya. Menurut sistem kasta di India, masyarakat dibahagikan mengikut golongan tertentu bertujuan untuk menjaga keturunan yang dianggap mulia dan dihormati. Terdapat empat jenis kasta yang utama iaitu Brahmin (sami), Kysatria (perwira, aristokrat), Vaisya pedagang) dan Sudra (rakyat biasa). Golongan Brahmin dianggap sebagai golongan paling mulia manakala golongan Sudra adalah golongan yang dipandang rendah oleh masyarakat.
  
Ø   Amalan Suttee merupakan  pengorbanan diri oleh wanita-wanita atau balu yang kematian suami. Menurut amalan ini balu-balu Hindu dikehendaki membakar diri sendiri bersama-sama mayat suami semasa upacara pengkebumian dijalankan. Tindakan ini dilakukan sebagai bukti kesetiaan seorang isteri terhadap suami sehingga sanggup sehidup semati.
  
Ø   Amalan Thuggee pula merupakan satu aktiviti rompakan dan pembunuhan jalanan yang menjadi amalan tradisi kumpulan-kumpulan agama yang bersenjata. Mereka bertindak ganas dengan mencekik mati pengembara atas nama Dewi Kali.
  
Ø   Amalan membunuh bayi perempuan juga merupakan amalan tradisi masyarakat India. Perbuatan ini dilakukan untuk mengelakkan ibu-bapa menanggung penderitaan seperti pemberian dowri iaitu mahar atau mas kahwin yang akan dibayar oleh pihak pengantin perempuan kepada pihak pengantin lelaki.
  
Ø   Amalan melarang balu-balu yang kematian suami berkahwin dengan lelaki lain sebagai tanda kesetiaan kepada suaminya. Lazimnya mereka dikehendaki memakai sari yang berwarna putih supaya dapat dikenali sebagai wanita yang telah kematian suami atau balu.
  
Ø   Adat masyarakat India juga dikaitkan dengan dengan unsur-unsur ketuhanan yang mana lembu sangat dimuliakan. Sebagai haiwan suci, wujud larangan terhadap masyarakat India daripada makan daging lembu.

Ø   Penganut agama Hindu juga menganggap Sungai Ganges sebagai sungai yang suci. Justeru, menjadi amalan masyarakat Hindu di India membersihkan diri di Sungai Ganges bagi menghapuskan dosa yang pernah dilakukan oleh mereka.

B.        Adat yang diamalkan oleh masyarakat Thailand  ( 10 markah )

Ø  Unsur ketuhanan yang dimiliki oleh pemerintah mendorong terbentuknya adat yang melarang rakyat jelata menatap muka raja. Hal ini menjadi tanda bahawa Raja Thailand mempunyai kedudukan yang paling mulia dan dianggap suci. Seseorang yang memandang wajah raja akan dijatuhkan hukuman dengan membutakan matanya.

Ø  Amalan menyembah raja secara bersujud sebagai tanda penghormatan dan taat setia sepenuhnya  kepada raja yang memerintah. Amalan ini juga akan dilakukan oleh orang asing yang mengadap Raja Siam.

Ø  Terdapat amalan menjual isteri dan anak untuk dijadikan hamba dalam adat masyarakat di Thailand. Menurut adat ini suami atau bapa mempunyai hak mutlak ke atas isteri dan anak-anaknya dan dilihat sebagai simbol kekayaan miliknya.

Ø  Mengikut adat, isteri-isteri Raja Thailand tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan istana dan mereka juga tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki lain meskipun tidak lagi menjadi isteri raja.

Ø  Di Thailand juga Raja tidak dibenarkan keluar di khalayak ramai kecuali jika ada perarakan di raja untuk menjaga kemuliaan baginda sebagai pemerintah yang dihormati dan dimuliakan oleh rakyat.

Ø  Terdapat juga adat yang mana golongan Khunnang tidak dibenarkan memakai baju semasa mengadap raja.



Kesimpulan   (2/3 markah)

            Kesimpulannya, masyarakat India dan Thailand telah mengamalkan hukum adat yang menjadi sebahagian daripada kepelbagaian diri masyarakatnya. Namun setelah kedatangan kuasa-kuasa Barat,beberapa amalan dan adat yang sekian lama menjadi amalan masyarakat di India dan di Thailand telah berubah. Terdapat adat yang disesuaikan dengan unsur-unsur moden yang diperkenalkan oleh Barat khususnya di Thailand semasa pemerintahan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn. Sebaliknya, di India penghapusan adat yang menjadi amalan masyarakat telah mencetuskan penentangan terhadap Inggeris yang dikenali sebagai Dahagi India pada tahun 1857.

2 comments:

  1. cikgu..yang ini puan hayati dah bagi tajuk yang sama..buat satu je cukup la kot ye.

    ReplyDelete